232 pelajar terima biasiswa Skim Pembiayaan Hafiz 2021
TAJAAN itu melibatkan empat pelajar di peringkat doktor falsafah, lapan di peringkat sarjana, 188 pelajar sarjana muda dalam negara, manakala selebihnya pelajar Malaysia di universiti luar negara di Mesir, Jordan dan Indonesia. Gambar: Harian Metro

232 pelajar terima biasiswa Skim Pembiayaan Hafiz 2021

SERAMAI 232 pelajar menerima penajaan biasiswa di bawah Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dikhususkan untuk pelajar huffaz al-Quran, tahun ini dengan nilai tajaan RM3.33 juta.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata tajaan itu melibatkan empat pelajar di peringkat doktor falsafah, lapan di peringkat sarjana, 188 pelajar sarjana muda dalam negara, manakala selebihnya pelajar Malaysia di universiti luar negara di Mesir, Jordan dan Indonesia.

Beliau berkata pelajar yang mendapat tajaan itu terdiri daripada pelbagai bidang pengajian antaranya qiraat, pengajian Islam, perubatan, farmasi, kejuruteraan dan pendidikan.

“Bukan senang untuk mendapat tajaan ini, pelajar perlu melalui proses saringan syarat akademik dan temuduga. Jadi yang berjaya, sudah pasti sangat cemerlang akademiknya dan menguasai hafazan al-Qurannya,” katanya dalam Majlis Amanat Ketua Pengarah Jakim Bersama Pelajar Baru Tajaan SPH 2021 secara maya hari ini.

Menurutnya, SPH yang diwujudkan sejak 2012 untuk membiayai pelajar huffaz al-Quran 30 juzuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, telah menaja seramai 1,177 pelajar dengan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM62 juta.

Abdul Aziz dalam pada itu berkata kerajaan sentiasa peka dan meneliti semua aspek bagi memartabatkan bidang tahfiz di negara ini termasuk berkaitan kualiti, keberhasilan, prospek masa depan, tadbir urus dan kewangan.

Beliau berkata bilangan sekolah atau institusi pengajian tahfiz swasta dan persendirian yang semakin bertambah dari tahun ke tahun membuatkan kerajaan merasakan perlu kepada satu sistem untuk mengawal selia kualiti dan kebajikan keluaran pusat-pusat tahfiz.

“Kerajaan berusaha untuk mengarusperdanakan aliran tahfiz dalam sistem pendidikan negara. Menjadikan pusat tahfiz sebagai satu daripada pilihan utama pelajar dan ibu bapa, bukan lagi sebagai tempat atau pilihan ketiga selepas anak-anak kecundang di sekolah aliran perdana.

“Pusat tahfiz perlu dipandu untuk membentuk hala tuju melahirkan huffaz yang serba boleh dan melahirkan pimpinan generasi akan datang,” katanya yang memaklumkan sebanyak 1,483 institusi tahfiz telah berdaftar di seluruh negara setakat ini. – BERNAMA

CATEGORIES