Berita

22 kes baharu Covid-19 di Selangor Mansion

- Diterbit 23 April 2020 11:10 AM MYT

PUTRAJAYA – Terdapat 22 lagi kes positif Covid-19 di bangunan Selangor Mansion di Jalan Masjid India menjadikan kes terkumpul sebanyak 107 setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes turut berlaku di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat selepas 10 kes dikesan menjadikan 141 kes di situ.

“Kawasan dikategorikan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang lain tiada pertambahan kes,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Dalam masa sama, Dr Noor Hisham memaklumkan, setiap negeri hanya akan dikategorikan zon hijau sekiranya merekodkan sifar kes positif Covid-19 dalam tempoh 14 hari.

Katanya, Perlis dikenal pasti sebagai negeri pertama zon hijau selepas tiada kes baharu dikesan lebih dua minggu.

“Jika kita lihat negeri di utara Semenanjung, kes sudah berkurangan, namun kita kena melihat tempoh 14 hari sebelum boleh katakan negeri itu sebagai zon hijau,” katanya.

Sementara itu, beliau tetap menggalakkan kehadiran sukarelawan walaupun kes positif Covid-19 dilihat semakin berkurang.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, pemilihan sukarewalan itu akan dibuat berdasarkan kepakaran.

“Ramai yang mohon nak jadi sukarelawan tetapi tiada kepakaran.

“Kita juga akan lihat keperluan sukarelawan ini sama ada mahu ditempatkan di wad, unit rawatan rapi atau tempat yang sesuai,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas