Berita

2021, tahun pemulihan bawa banyak kejayaan – Master Feng Shui

- Diterbit 8 Februari 2021 3:02 AM MYT

TAHUN 2021, Tahun Lembu Emas dalam zodiak Cina dianggap sebagai ‘Tahun Pemulihan’, kata pakar Feng Shui, Master Kenny Hoo.

Hoo, dari Good Feng Shui Geomantic Research, berkata ramai orang mungkin mengalami tekanan serta kebimbangan sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara pada tahun 2020, tetapi tahun 2021 mungkin ‘tahun pemulihan’ bagi pelbagai syarikat serta individu memperbaiki perkhidmatan, produk dan kualiti hidup mereka.

Beliau meramalkan pelbagai perniagaan dan kegiatan sosial secara peralahan-lahan akan bangkit semula pada tahun 2021 dengan banyaknya juga peluang baharu muncul.

“Kata kuncinya untuk tahun ini ialah tahun pemulihan. Ramai yang akan mula bingkas bangun untuk mengaktifkan atau memulakan semula kegiatan mereka setelah lebih setahun berada dalam mod kuarantin dan pergerakan yang terhad.

“Ini sudah tentu mewujudkan lebih banyak peluang inovatif, teknolgi baru serta perkongsian hasil yang diperolehi. Kerjasama lebih rancak juga akan terjalain antara satu sama lain dalam pelbagai bidang, ” beliau berkata sewaktu sesi secara langsung dengan media, anjuran Akzonobel, baru-baru ini.

TARIKH BERTUAH BERDASARKAN ZODIAK

Menurut Hoo, ketika memasuki Tahun Pemulihan, warna yang bertuah tahun ini, termasuk dalam kategori Brave Ground / Wright Stone Brown ( coklat tanah), sama ada untuk pakaian peribadi, aksesori, hiasan rumah atau pejabat mahupun pembungkusan jenama.

“Pelengkap perubahan yang menarik untuk tahun baharu, Brave Ground menggambarkan asas kukuh di bumi yang dipijak dan memberikan kita keberanian untuk menerima perubahan serta mengalu-alukan peluang baharu, ” katanya..

Beliau juga menyediakan nasihat untuk tarikh yang dianggap bertuah untuk kerja pembersihan, dan pengubahsuian berdasarkan konsep Flying Star Feng Shui dan zodiak di dalam rumah untuk mengalu-alukan kedatangan Tahun Lembu Emas.

“Masyarakat Cina lazimnya mempunyai amalan membersihkan premis sebelum tiba Tahun Baharu dan ada tarikh bertuah untuk dijadikan panduan menurut zodiak. Tujuannya untuk menyingkirkan tenaga usang, rosak serta tidak diperlukan bagi menyambut tenaga baru lagi segar ke dalam rumah atau pejabat.

“Hakikatnya juga untuk membersihkan semua ‘qi’ (getaran) negatif dengan membuang semua barangan lama dan yang tidak diperlukan, supaya kita mempunyai lebih banyak ruang, untuk ‘qi’ yang positif bagi memperolehi kesihatan, kemewahan dan kemakmuran yang lebih besar pada Tahun Baharu, ” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sesetengah zodiak dinasihatkan untuk mengelakkan daripada melakukan kerja pembersihan pada hari tertentu. Seperti contoh, mereka yang dilahirkan pada Tahun Kuda jangan melakukan kerja pembersihan pada 9 Februari.

“Pilih tarikh yang tidak sama dengan Zodiak Cina mana-mana anggota keluarga anda. Tarikh yang ditentukan dipilih daripada Almanak Cina yang sesuai untuk mengusir tenaga lama dan menyambut tenaga baharu, ” katanya.

Menurut Hoo, untuk memperolehi kejayaan bagi perniagaan pada tahun baharu, adalah penting untuk memilih hari terbaik untuk “membuka semula” pejabat atau memulakan semula kerja menurun zodiak mereka selepas cuti Tahun Baharu Cina (CNY).

“Ini untuk menarik lebih banyak kejayaan serta kemakmuran bagi perniagaan dan pekerjaan supaya sepanjang tahun apa yang dilakukan akan berjaya dan semua berjalan lancar.

“Sekiranya anda tidak boleh memulakan semula perniagaan pada tarikh tersebut, pilih hari lain yang mungkin sederhana . Elakkan kembali bekerja pada hari yang sama yang bertentangan dengan zodiak anda, ” katanya, sambil menambah hari keempat CNY adalah yang terbaik untuk memulakan kerja, kecuali mereka yang dilahirkan pada Tahun Tikus.

Beliau berkata, menurut tradisi Cina, orang akan memilih tarikh yang sesuai untuk menyimpan wang di dalam bank terutamanya apabila ‘Li Chun’ jatuh pada 3 Februari pada 11.58 malam tahun ini.

‘Li Chun’ adalah tarikh dalam kalendar Cina yang menandakan bermulanya musim bunga dan ia lazimnya jatuh sekitar sambutan perayaan CNY, meskipun tarikh CNY boleh jatuh sebelum atau selepas Li Chun.

“Kami percaya menyimpan wang pada hari berkenaan boleh menjadi permulaan yang baik dan mendapat keuntungan pada tahun baharu, bergantung kepada zodiak haiwan kita,

“Memandangkan keadaan, elok juga bertukar kepada perbankan dalam talian kerana simboliknya sama, “ katanya.

NASIB BAIK ZODIAK PADA TAHUN LEMBU EMAS

Hoo menggambarkan tahun 2021 sebagai tahun yang luar biasa kerana masyarakat lebih peka kepada sistem serta teknologi baharu di sebalik pandemik COVID-19 tahun lalu.

“Meskipun tahun ini mungkin mencabar kerana norma baharu serta perubahan, masyarakat boleh menyesuaikan diri, daripada ketidaktentuan kepada kestabilan, “ katanya.

Beliau turut meramalkan, berdasarkan ‘Ba Zi’ tahunan dalam ramalan baik Feng Shui, tahun 2021 akan menjadi tahun yang positif, dengan bulan-bulan bertuah Februari, Mei, Julai, September dan Oktober.

“Bulan-bulan bertuah dalam ramalan kami bermakna cuaca yang baik atau keadaan pasaran yang positif, atau orang boleh memberi perhatian yang baik terhadap pekerjaan mereka, dan seterusnya.

“Bulan-bulan mencabar pada tahun 2021 adalah Januari, Jun, Ogos dan Disember. Cuba elakkan daripada membuat sebarang keputusan penting dalam bulan berkenaan agar perjalanan hidup sepanjang tahun ini lancar, ” katanya.

Pada tahun ini (2021), zodiak Tikus, Harimau, Naga, Monyet, Ayam Jantan dan Anjing akan menikmati kejayaan, terutamanya dalam aspek karier, kesihatan dan kemewahan.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran, mereka yang di bawah zodiak Cina Lembu, Kuda, Arnab, Ular, Kambing dan Khinzir supaya lebih berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan.

“Mereka di bawah zodiak ini dinasihatkan jangan membuat sebarang perubahan drastik, terutamanya pada bulan Julai, Oktober dan Januari 2022, ” katanya.

Menurut beliau, mereka yang dilahirkan pada tahun Tikus, Naga, Kuda dan Monyet perlu peka dengan isu kesihatan kecil sepanjang tahun dan mesti mengamalkan imbangan dalam kehidupan harian dan pemakanan, terutamanya pada bulan Julai dan Disember.

“Mereka dinasihatkan berjumpa doktor gigi untuk pembersihan gigi, atau buat pemeriksaan kesihatan atau derma darah, yang boleh membaiki keadaan, ” katanya.

Hoo berkata, pelajar yang dilahirkan pada Tahun-Tahun Tikus, Naga, Kuda dan Monyet akan berjaya dalam bidang akademik mereka kerana mereka akan disinari bintang kesarjanaan.

“Keadaan yang sama untuk orang dewasa yang bekerja, mereka akan menjadi lebih bijak, kreatif dan inovatif serta mudah menangkap pengetahuan baharu, ” katanya.

Beliau menambah, mereka yang di bawah naungan Tahun-Tahun Tikus, Harimau, Naga dan Monyet akan mempunyai lebih kasih sayang dan kemahsyuran di samping menikmati banyak peristiwa yang menggembirakan, seperti dikurniakan anak, ” katanya.

Sementara, untuk negara pula, Hoo berpandangan rakyat Malaysia perlu sedar bahawa interaksi yang baik antara pelbagai industri akan memberi manfaat kepada semua.

“Malaysia juga akan menikmati faedah daripada pembangunan yang berlaku di negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia.

“Landskap Malaysia yang secara strategiknya mempunyai Feng Shui yang baik membolehkan negara ini memainkan peranan sebagai hub untuk mereka yang berbakat dan pelbagai sumber bagi pelbagai industri, ” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas