Berita

20,000 penduduk diberi bekalan masakan asas sepanjang PKPD

ANGGOTA tentera berkawal di kawasan yang sudah dipasang 'razor barbed wire' bagi mengelak orang ramai keluar dari kawasan PKPD.
- Diterbit 20 April 2020 1:07 PM MYT

KUALA LUMPUR – Kawasan di sekitar lapan lokaliti bandar utara Kuala Lumpur dan Pasar Borong Selayang bagaikan bertukar menjadi ‘medan perang’ setelah diisytihar diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini hingga 3 Mei depan.

Kira-kira 20,000 penduduk dengan sebahagian besarnya adalah warga asing tidak dibenarkan keluar di kawasan itu.

Anggota tentera telah memasang kelengkapan ‘razor barbed wire’ di kawasan jalan raya serta kaki lima perumahan penduduk  bagi mengawal sebarang pergerakan keluar masuk di kawasan PKPD itu.

Kawalan turut dilakukan pasukan Polis Diraja Malaysia bagi menguatkuasakan PKPD dalam usaha menyekat penularan wabak Covid-19.

Petugas kesihatan yang lengkap pakaian perlindungan diri (PPE) turut sudah kelihatan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas para penduduk.

Dipercayai saringan kesihatan besar-besaran akan dilaksanakan dalam memastikan usaha untuk mengesan mereka yang bergejala atau positif Covid-19 bagi mengelak jangkitan wabak itu.

Dalam pada itu, Kemeterian Wilayah Persekutuan (KWP) meletakkan komitmennya untuk membantu menyalurkan bekalan makanan kepada kira-kira 20,000 penduduk di kawasan yang terbabit dengan PKPD terbaru itu.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Dr. Santhara berkata, langkah itu diambil dengan mengambil kira keadaan penduduk tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing.

“Kita akan berusaha mengedarkan bahan makanan asas kepada penduduk yang terlibat kerana mereka mempunyai dapur.

“Bahan makanan pula akan diperoleh daripada peniaga di kawasan itu dan mereka mempunyai stok bekalan yang mencukupi,” katanya kepada Wilayahku selepas mesyuarat khas dengan Pengurus Cawangan Bank, pemilik hotel dan peniaga di Bilik Gerakan Covid-19 berhampiran Pasar Borong Selayang di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, Panglima 12 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar dan Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr. Pramjeet Singh.

PENDUDUK perlu kekal duduk di dalam rumah masing-masing sepanjang PKPD.

Santhara berkata, ketika ini di beberapa lokaliti Pasar Borong Selayang, dianggarkan terdapat lebih 17,000 penghuni dengan 98 peratus daripada mereka adalah warga asing,

Santhara berkata, mesyuarat khas yang diadakan itu adalah untuk memantau keadaan di kawasan tersebut bersama beberapa agensi termasuklah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Selain itu katanya, Jawatankuasa Khas untuk penyaluran bantuan makanan dan kebajikan turut ditubuhkan bagi membantu penduduk.

“Mesyuarat tersebut turut berbincang dengan 10 cawangan bank tempatan di kawasan ini bagi operasi pemindahan wang tunai dan mereka boleh melakukan transaksi esok pagi dengan pemantauan ketat agensi-agensi yang terlibat.

“Kita juga bermesyuarat dengan pemilik hotel dan memberikan Prosedur Operasi Standad (SOP). Ketika ini hotel telah ditutup dan kami dimaklumkan hotel terbabit ada penghuni namun bukan pelanggan di mana mereka perlu mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya

Santhara memberitahu, pihaknya juga bertemu dengan peniaga-peniaga barangan runcit dan buah-buahan di kawasan terbabit.

“Mereka memerlukan bantuan kerana barangan tersebut mudah rosak dan ada lori yang tersangkut di dalam kawasan ini,” – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas