Berita

20 lagi kios bakal dibuka – YWP

PESERTA Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota Bazar Kreatif diberi taklimat sebelum memulakan operasi. - Gambar hiasan PESERTA Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota Bazar Kreatif diberi
- Diterbit 21 November 2021 6:00 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) berharap peserta Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota menggunakan kesempatan yang diberi sebaik-baiknya untuk menjana kembali pendapatan yang terjejas akibat pandemik, melalui program yang dirancang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun, pihaknya menyedari ramai pihak cuba bangkit dari masalah kewangan yang dihadapi semasa pasca-pandemik ini, oleh itu peluang tersebut dibuka kepada mereka yang berminat menjana pendapatan atau menjadi usahawan.

“Tawaran ini adalah antara usaha yang terbaik dalam melahirkan lebih ramai usahawan muda di lokasi tumpuan dan strategik sekitar ibu kota di samping memperkasakan usahawan mikro agar lebih berdaya saing.

“Diharapkan peluang keemasan seperti ini tidak dipersiakan. Sebolehnya jadikan ia kejayaan cemerlang untuk membina jenama sendiri terutamanya dalam menghadapi norma baharu ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, kata beliau lagi 20 kios dengan reka bentuk moden, kemas dan bersih di sekitar kawasan tumpuan ramai di Kuala Lumpur bakal beroperasi selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

Insya-Allah tidak lama lagi kios akan dibuka di lokasi yang strategik yang mana peserta dapat memasarkan jualan seterusnya merancakkan kembali ekonomi negara melalui sektor keusahawanan,” ujar beliau.

Sementara itu, Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota Bazar Kreatif yang bertempat di Tingkat 4, Berjaya Times Square Kuala Lumpur mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Selain barangan makanan, ia turut diserikan dengan jualan barangan kelengkapan diri, hiasan dan sebagainya yang mana kali ini peniaga turut memasarkan produk seni jahitan.

Terdahulu, inisiatif Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota dirangka bersama YWP, DBKL, KWP dan Perbadanan Putrajaya (PPj). -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas