Berita

190 kes baharu Covid-19, tabligh paling ramai

ORANG awam menggunakan topeng mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan kepada wabak Covid-19.
- Diterbit 15 Mac 2020 10:40 AM MYT

PUTRAJAYA -Sebanyak 190 kes baharu positif jangkitan wabak Covid-19 dicatatkan setakat jam 12 tengah hari tadi sekali gus menjadikan jumlah kes keseluruhan adalah 428 kes.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, berkata, berdasarkan siasatan awal Kementerian Kesihatan, daripada jumlah itu, kebanyakan kes berkait perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling dekat sini yang dianjurkan pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Justeru ujar beliau, penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan tabligh masih giat diteruskan dan individu yang menghadiri program berkenaan diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

“Peserta perhimpunan tabligh akan diletakkan mengikut perintah pengawasan dan pemerhatian Seksyen 15(1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh di masjid berkenaan atau kontak rapat kepada kes positif Covid-19 mengikut mana yang terkemudian.

“Begitu juga untuk kontak rapat, PUI (pesakit dalam siasatan) yang tidak mematuhi kriteria kemasukan ke hospital, mereka juga perlu diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian mengikut ketentuan di bawah akta sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, jelas Dr. Adham, susulan peningkatan mendadak hampir lima kali ganda terhadap kadar jangkitan positif Covid-19, semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah menjalankan aktiviti berkaitan bagi mengawal penularan wabak berkenaan dalam kalangan jemaah tabligh dan kes disyaki.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak memberikan kerjasama kepada kementerian dalam membendung penularan wabak tersebut dengan mengikuti nasihat rasmi yang dikeluarkan.

“Rakyat Malaysia diminta tidak menyebarkan maklumat yang boleh menyebabkan kebimbangan kepada orang awam.

“Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperoleh dan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mengulas status terkini, Dr Adham berkata, sehingga kini, sembilan kes positif Covid-19 direkodkan dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana memerlukan bantuan pernafasan.

“Tujuh kes yang disahkan positif sebelum ini pulih dan dibenarkan keluar wad Hospital Sungai Buloh. Ini menjadikan 42 kes pulih sepenuhnya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas