Berita

18 kakitangan PPj terima bantuan segera banjir18 kakitangan PPj terima bantuan segera banjir18 kakitangan PPj terima bantuan segera banjir

NIK SHUKRI menyampaikan bantuan kepada kakitangan yang terkesan
- Diterbit 26 Disember 2021 4:00 AM MYT

KAKITANGAN merupakan aset yang perlu dijaga sebaiknya oleh majikan. Tanpa mereka pastinya sesebuah organisasi itu tidak dapat
menjalankan aktivitinya dengan berkesan dan sempurna.

Menyedari pentingnya hal tersebut, Perbadanan Putrajaya (PPj) menerusi Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi (KRISPUTRA)
tampil membantu kakitangannya yang terkesan dengan banjir kilat di Lembah Klang baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Squad Bencana PPj, Nik Shukri Nik Soh, seramai 18 orang kakitangan PPj beserta kaum keluarga dibantu menerusi enam bentuk bantuan segera bagi meringankan beban ekoran banjir.

“Antara bentuk bantuan yang diterima berupa wang tunai, bakul makanan, bakul keperluan diri, ubat-ubatan dan penginapan beserta sarapan pagi, tengah hari dan malam,

“Dari segi penginapan, bagi mereka yang tiada tempat tinggal, kita tempatkan mereka sementara di rumah tetamu PPj Presint 11 dan sebahagiannya di Hotel Pulse Grande sehingga semuanya kembali seperti sediakala,” ujar beliau.

Kata beliau lagi, apabila kesemua mereka kembali ke rumah masing – masing, PPj akan membantu menyediakan perkakas keperluan
mencuci rumah serta khidmat pembersihan selain keperluan asas rumah berupa barangan elektrik.

“Kita sendiri sedia maklum, apabila air naik ke rumah secara mendadak maka banyak barangan yang tidak dapat diselamatkan terutamanya barangan elektrik.

“Dengan adanya bantuan ini sedikit sebanyak kita dapat membantu kakitangan serta menjaga kebajikan mereka dalam melalui dugaan bencana seperti ini.

“Ini merupakan kali pertama mereka terjejas teruk dan kejadian ini juga tidak dijangka memandangkan kediaman mereka bukanlah berada di lokasi banjir,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Terdahulu, seramai 18 kakitangan PPj yang terkesan banjir sekitar Klang, Dengkil, Sepang dan Semenyih menerima bantuan segera. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas