Berita

15 – 20 peratus baru pulang dari luar negara ingkar kuarantin

INDIVIDU yang baru pulang dari luar negara perlu mematuhi arahan kuarantin 14 hari bagi mengelak penularan Covid-19. Gambar hiasan
- Diterbit 2 April 2020 12:52 PM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 15 hingga 20 peratus rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara tidak mematuhi arahan kuarantin selama 14 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu KKM akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan wabak Covid-19 dapat dikekang.

“Mereka yang pulang akan ditempatkan di pusat-pusat kuarantin atau hotel-hotel yang telah dikenal pasti,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam masa sama, Dr Noor Hisham berkata pihaknya juga akan mendapatkan rapid test kit yang boleh memberi kadar ketepatan saringan Covid-19 antara 75 hingga 80 peratus.

Ia susulan kadar ketepatan yang dilakukan menggunakan rapid test kit dari Korea Selatan hanya mencapai 56 peratus.

“Kita turut berdepan masalah logistik bagi proses penghantaran peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan topeng muka di fasiliti kesihatan terutamanya Sabah dan Sarawak.

“Ini menyebabkan sesetengah hospital tidak mempunyai bekalan PPE dan topeng muka mencukupi. Kita berusaha atasi masalah itu dalam minggu ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas