Berita

14 pasukan bakal berentap

Putrajaya Boat Race 2019
PASUKAN UPM bersedia menghadapi persaingan sengit daripada pasukan UM.
- Diterbit 15 September 2019 6:15 AM MYT

SEMUANYA bermula hasil inspirasi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu menyaksikan satu perlumbaan perahu dayung di antara dua pasukan universiti terkemuka di negara ini.

Justeru Perbadanan Putrajaya (PPj) bakal membawakan Putrajaya Boat Race 2019 yang julung-julung kali diadakan di Tasik Putrajaya pada 15 September ini.

Dengan Kelab Tasik Putrajaya menjadi lokasi penganjuran tersebut, perlumbaan bot (rowing) menyaksikan pasukan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) melibatkan kategori lelaki dan wanita bakal berentap merebut kejuaraan pada perlumbaan tersebut.

Setiap pasukan melibatkan lapan pendayung dan seorang pengemudi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komuniti Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya, Jeffri Mustapa berkata, perlumbaan bot tersebut mengikuti jejak perlumbaan tradisi yang dilakukan universiti-universiti terkemuka seperti Oxford dan Cambridge di United Kingdom; Yale dan Harvard di Amerika Syarikat serta Waseda dan Keio di Jepun.

“UM merupakan antara universiti yang terawal terlibat dalam perlumbaan perahu dayung manakala UPM walaupun pernah aktif pada tahun 1991 dan kemudian berhenti seketika. Namun kini penuntut-penuntutnya menggerakkan semula pasukan mereka,’’ katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Mendayung (Rowing) Wilayah Persekutuan Putrajaya, Nazrin Zainal.

Perlawanan tersebut bakal disaksikan Dr. Mahathir sendiri bersama Menteri-Menteri Kabinet.

Menurut Jeffri, sebagai acara sampingan, perlumbaan bot tersebut turut melibat pasukan jemputan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal berentap dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Selain itu, bagi pihak berkuasa tempatan, PPj akan melawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Bagi peringkat sekolah pasukan Maktab Tentera Diraja akan bersaing dengan pasukan gabungan sekolah-sekolah menengah di Putrajaya.

“Kita juga akan menyaksikan perlawanan bot antara pasukan University Alliance dari utara dan selatan melibatkan pasukan lelaki dan wanita,’’ katanya.

Jeffri berkata, bagi PPj sendiri, pasukan yang baru dibentuk sebelum Ramadan lalu bakal berdepan dengan pasukan DBKL yang telah lama berkecimpung dalam sukan bot rowing tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, perlawanan perahu dayung tersebut bakal menyaksikan peserta berdepan dengan laluan mencabar apabila keadaan Tasik Putrajaya yang melengkok melibatkan jarak 3.8 kilometer dari bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana ke Kelab Tasik Putrajaya.

“Perlawanan perahu mendayung ini dianjurkan bagi menyemarakkan lagi Tasik Putrajaya sebagai pusat aktiviti sukan air. Kita juga dapat memperkenalkan juga lokasi-lokasi menarik di Putrajaya yang terletak di pesisir tasik seperti Istana Darul Ehsan, Monumen Alaf Baru, Masjid Putra, Masjid Besi, Ayer@8 dan beberapa jambatan seperti Jambatan Seri Perdana, Jambatan Seri Saujana dan Jambatan Seri Saujana,” katanya.

Jeffri berkata, perlawanan bot tersebut dijangka dapat menarik kira-kira 3,000 pengunjung dari sekitar Putrajaya dan ibu kota.

Bagi memeriahkan suasana, katanya, perlawanan in door rowing turut diadakan dengan peserta bakal ‘mendayung’ di atas daratan secara relay menggunakan mesin in door rowing melibatkan jarak sejauh 2,000 meter.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas