Berita

14 ditahan kutip duit parkir di Bukit Bintang

ANTARA suspek yang ditahan dalam Op Parkir. ANTARA suspek yang ditahan dalam Op Parkir.
- Diterbit 17 Disember 2021 6:25 AM MYT

AKIBAT mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram, 14 lelaki termasuk lima warga asing ditahan di sekitar Bukit Bintang dan Solaris, Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua tangkapan berumur antara 21 hingga 49 tahun dibawa ke Balai Polis Trafik, Jalan Bandar.

“Mereka ditahan semasa Op Parkir Haram pada 15 hingga 16 Disember lalu.

“Tangkapan akan dituduh di bawah Seksyen 50 (3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana mendesak mana-mana orang lain yang berkenaan dengan penjagaan kenderaan. Jika disabit kesalahan, mereka akan dihukum mengikut Seksyen 119 (2) akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi dan mencegah, seterusnya membanteras sepenuhnya aktiviti parkir haram di sekitar ibu negara yang mengakibatkan ketidakselesaan kepada masyarakat.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan maklumat boleh menghubungi JSPT Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas