Berita

1,292 kawasan terjejas terima bekalan air sepenuhnya – Air Selangor

- Diterbit 22 Oktober 2020 4:37 AM MYT

BEKALAN air di 1,292 kawasan di Wilayah Petaling, Klang/ Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor yang mengalami gangguan sebelum ini telah pulih sepenuhnya pada pukul 6 pagi tadi, kata Ketua Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri.

Gangguan bekalan air ini berlaku ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang akibat pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada Isnin lepas.

“Air Selangor berterima kasih kepada pengguna yang bersabar dan memberi kerjasama sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini berlaku serta menyarankan pengguna untuk menggunakan air secara berhemat.

Pengguna yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai gangguan bekalan air boleh melayari saluran-saluran komunikasi rasmi Air Selangor di aplikasi Air Selangor, Facebook, Twitter dan Instagram, serta laman sesawang kami di www.airselangor.com,” kata Elina dalam satu kenyataan hari ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas