Berita

11 kes positif COVID-19 dikesan di Parlimen Khamis

DR Noor Hisham menegaskan mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 30 Julai 2021 8:12 AM MYT

SEBANYAK 11 kes positif COVID-19 dikesan di parlimen semalam ketika berlangsungnya Sidang Khas Dewan Rakyat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata 10 kes positif dikesan melalui Kit Ujian Rapid Antigen (RTK Ag) melalui air liur, manakala satu lagi menerusi ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR).

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dimaklumkan mengenai dua kes positif COVID-19 di Parlimen semalam, dengan kes pertama melibatkan seorang petugas yang hadir di Parlimen pada 26 Julai hingga 28 Julai, dan pengesahan dibuat selepas ujian RT-PCR dilakukan sendiri di sebuah fasiliti kesihatan setelah petugas itu mengalami gejala batuk dan selesema.

Menurutnya kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai menggunakan ujian kendiri RTK Ag air liur setelah individu berkenaan mengalami gejala batuk.

“Siasatan mendapati kedua-dua kes ini tiada kaitan dengan mana-mana kes positif yang dikesan dalam saringan petugas-petugas Parlimen yang dijalankan tiga hari sebelum sidang khas Parlimen bermula,” katanya, serta menambah kedua-duanya juga negatif COVID-19 apabila saringan dilakukan ke atas mereka sebelum bertugas di Parlimen.

Dr Noor Hisham berkata berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan kes, kedua-dua kes berkenaan dikhuatiri telah berada di beberapa lokasi di sekitar parlimen semasa Sidang Khas Dewan Rakyat berlangsung.

Sidang Khas Dewan Rakyat berlangsung lima hari bermula 26 Julai.

Susulan dua kes positif itu, Dr Noor Hisham berkata seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag air liur  di Parlimen semalam.

Menurutnya dua daripada 10 kes positif hasil ujian RTK Ag air liur itu mengalami gejala ringan tetapi stabil manakala lapan kes tidak bergejala.

“Pejabat Kesihatan akan membuat susulan lanjut  ke atas 10 kes positif ujian saringan pengesanan COVID-19 itu,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata berikutan pengesanan kes-kes positif COVID-19 berkenaan, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan, termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

Beliau berkata semua yang akan hadir pada sesi Sidang Khas Dewan Rakyat minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu.

“Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen. KKM akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan terkini hasil ujian dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan,” katanya. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas