Berita

10km: Kelonggaran diberikan untuk rawatan kesihatan

KELONGGARAN diberikan untuk rawatan kesihatan.
- Diterbit 3 April 2020 9:36 AM MYT

SERDANG – Orang ramai diberi kelonggaran melakukan perjalanan melebihi radius 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing sekiranya perlu mendapatkan rawatan perubatan di hospital atau keperluan ‘essential’ sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, kelonggaran tersebut diberikan untuk keperluan berkenaan termasuk pengambilan ubat-ubatan.

“Tidak ada sebab untuk menghalang mereka pergi lebih dari 10km sekiranya perkhidmatan kesihatan lebih daripada jumlah yang disebutkan.

“Kalau kita lihat perkara ini banyak berlaku di Sabah dan Sarawak. Jadi kita beri kelonggaran khusus untuk mereka yang mahu mendapatkan rawatan, tidak ada masalah, hanya beritahu (petugas) sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS di sini hari ini.

Berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, rakyat Malaysia hanya boleh bergerak dalam lingkungan radius 10 km dari kediaman masing-masing ketika kawalan pergerakan dilaksanakan, meskipun untuk tujuan membeli makanan atau ubat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas