Berita

100 keluarga jalani kuarantin terima kit makanan PL

- Diterbit 16 Oktober 2020 11:20 AM MYT

PRIHATIN terhadap permasalahan yang dihadapi masyarakat yang sedang menjalani kuarantin Perbadanan Labuan (PL) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Labuan telah menyalurkan bantuan kit makanan kepada keluarga B40 yang terjejas di Pulau Bebas Cukai itu.

Menerusi kenyataan PL, bantuan kit makanan telah disalurkan kepada seratus buah keluarga yang sedang menjalani proses kuarantin.

“Sumbangan bantuan kit makanan itu bertujuan untuk membantu serta meringankan beban keluarga yang menjalani kuarantin menyebabkan pergerakan mereka terbatas dalam mendapatkan bekalan makanan harian.

“Barangan yang disumbangkan merupakan barangan asas seperti beras, gula , minyak masak dan barangan keperluan lain yang bernilai RM50.00,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, bagi proses agihan bantuan kit makanan tersebut akan diagihkan secara terus ke pintu rumah keluarga yang menjalani kuarantin menerusi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“PL dan JKPBD berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban keluarga yang terjejas dan usaha itu akan diteruskan dari masa ke semasa dalam membantu kepada mereka yang terjejas dalam proses kuarantin,” jelas kenyataan itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas