Berita

100 HARI MEMBANTU LESTARIKAN RAKYAT – Komitmen Menteri dan timbalan teruji

ANNUAR menyerahkan pek makanan kepada gelandangan yang akan bergerak ke dua lokasi latihan bagi proses latihan serta pemulihan.
- Diterbit 18 Jun 2020 5:01 AM MYT

GENAP 100 hari menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan, komitmen tinggi Tan Sri TPr Annuar Musa dan timbalannya, Datuk Seri Dr Santhara berusaha membantu melestarikan hidup pelbagai kelompok rakyat sudah teruji.

Hari ini, bertempat di Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur, Annuar melepaskan tujuh buah bas membawa 187 gelandangan untuk mengikuti Program Latihan Khas di Kem PLKN, Sepang manakala 52 orang dihantar menyertai Program Pemulihan & Bimbingan di Drug Intervention Community, di Kuantan, Pahang.

Selain menyantuni kesemua gelandangan terpilih mengikuti program tersebut, beliau juga sempat meluangkan masanya bersama 20 gelandangan yang kini bekerja sebagai pembungkus sarung tangan di Syarikat Top Glove Sdn Bhd.

Dalam ucapan ringkasnya, Annuar menjelaskan, walaupun terpaksa berdepan kesukaran seawal menggalas tugas tersebut ketika negara sedang berdepan penularan wabak Covid-19, namun ia tidak menghalang kesungguhannya yang optimis untuk membantu warga Wilayah Persekutuan.

“Gelandangan adalah kelompok diberi tumpuan khusus kerana mereka sangat terdedah kepada jangkitan Covid-19 ketika itu. Pelbagai inisiatif telah dibuat bagi membantu mereka menyertai masyarakat, dan usaha diambil kini membuahkan hasil positif.

“Ini termasuk penyediaan makan minum, tempat tinggal, pemeriksaan kesihatan, latihan dan juga peluang pekerjaan kepada mereka. Kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membolehkan golongan gelandangan ini dibantu secara inklusif,” katanya.

Dalam majlis serba ringkas itu, turut diadakan sesi memotong pulut kuning sebagai simbolik Genap 100 Hari Mentadbir Wilayah Persekutuan.

ANNUAR memotong kek pulut kuning sebagai simbolik Genap 100 Hari Mentadbir Wilayah Persekutuan sambil disaksikan Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Selain gelandangan semua lapisan masyarakat di Wilayah Persekutuan turut mendapat pelbagai manfaat hasil komitmen ditunjukkan termasuk ilham Annuar memperkenalkan Inisiatif Wilayah Cakna dengan fokusnya membantu golongan rakyat B40 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) MTEN dan Perumahan Awam DBKL.

Antara bantuan disediakan meliputi sumbangan makanan dan bantuan kewangan, menyediakan pelbagai insentif untuk penjaja dan peniaga kecil terjejas setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bantuan barisan hadapan di Wilayah Persekutuan yang berdepan cabaran memerangi Covid-19.

Selain itu, kata Annuar, pembangunan Wilayah Persekutuan diteruskan melibatkan pelaksanaan jangka pendek, sederhana dan panjang dengan tumpuan pembangunan tiga sektor utama iaitu perumahan, perbandaran dan sukan untuk jana semula ekonomi secara berperingkat.

“Bagi perumahan, Residensi Prihatin telah pun dibangunkan khusus untuk golongan muda miliki rumah bawah harga RM200,000, Rumah Mikro di Kuala Lumpur bagi pasangan baharu berkahwin dengan kadar sewaan RM800 ke RM850 sebulan.

“Smart and save city adalah fokus utama dalam perancangan perbandaran termasuklah sektor pelancongan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan,” katanya.

Dalam bidang sukan pula, Wilayah Persekutuan Putrajaya dijadikan hub Sukan dan Rekreasi yang tempatkan pelbagai kemudahan bertaraf dunia. Pembangunan bidang sukan ini sekaligus dapat mengembangkan ekonomi industri lain seperti perhotelan, MICE dan pendidikan.

Menurutnya, pembinaan Soccer City memberikan penumpuan kepada sukan bola sepak berprestij tinggi, pembinaan Stadium Ragbi Nasional serta Kompleks Sukan MSWP bertaraf antarabangsa bakal dibina untuk kegunaan atlet dan komuniti di Wilayah Persekutuan.

“Melalui pelbagai inisiatif dan pelaksanaan pelan tindakan bersepadu, peningkatkan kesejahteraan dan persekitaraan hidup lebih kondusif warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, berupaya menjadikan pertumbuhan ekonomi wilayah sangat berdaya saing dan maju. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas