Berita

10 ahli keluarga positif COVID-19… “Ibu ada asma” – Aiman Tino

ayah dan adik-beradik yang lain.
- Diterbit 6 Ogos 2021 2:34 AM MYT

PENYANYI lagu Ku Rela Dibenci, Aiman Tino meluahkan rasa bimbang apabila 10 ahli keluarga termasuk ibu bapanya disahkan positif COVID-19 sejak hujung Julai lalu.

Apa yang paling membimbangkan Aiman adalah keadaan ibunya, Hazelina Mat Jalil yang mempunyai penyakit asma dan batuk berpanjangan.

Aiman atau nama sebenarnya Muhammad Aiman Yusri kini berada di ibu kota sejak tinggal bujang dan berasingan dengan keluarganya yang menetap di Kuala Kubu Bharu.

“Setakat ini saya hanya membuat panggilan video untuk mengetahui keadaan diri masing masing. Saya juga tak lepas meniup semangat untuk mereka kuat melawan ujian hebat ini. Mereka kena kuat.

“Bapa saya antara yang akan memaklumkan perkembangan keluarga saya di sana. Keadaan bapa dan yang lain nampaknya makin okey. Tapi yang paling membimbangkan saya ialah melihat keadaan ibu.

“Memang kena beri tumpuan lebih kepadanya. Ibu memang ada asma, malah kerap batuk. Bapa ada cakap mungkin juga ibu ada kuman dalam paru paru. Kalau semakin teruk, bapa tak teragak agak untuk membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut,” jelas Aiman yang tidak tahu bagaimana ahli keluarga boleh dijangkiti COVID-19.

Menurut Aiman, setahunya keluarga sangat menjaga dalam hal berkaitan COVID-19.

“Perkara yang selama ini saya minta dijauhi, akhirnya datang juga menyerang keluarga. Saya reda. Hingga kini memang tak tahu di mana puncanya. Sebab mereka semua cuba menjaga diri dan prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin.

“Cuma kita sendiri tahu bagaimana virus ini semakin berleluasa di luar sana. Ada yang saya baca kena wabak ini walaupun tak bergejala.

“Saya harap ujian yang dunia dan kita lalui ini akan ada penamat dan penawarnya. Saya harap semua kita lebih berhati hati dan patuh perintah kerajaan,” katanya.

AIMAN bersama ibu, ayah dan adik-beradik yang lain.

Terdahulu, kisah keluarga Aiman positif wabak berkenaan disahkan ibunya.

Ibu bapa Aiman bersama empat adik beradiknya iaitu Nurisfasha, 19, Mohd Haikal, 15, Nur Alya Mahsuri, 12, dan Nina Izzara, 6, kini menjalani kuarantin kendiri di kediaman mereka di Kuala Kubu Bharu.

Manakala, kakak sulungnya iaitu Nurfara Ain, 27, dan suami, Mohd Zafril, 36, serta anak mereka yang berusia sebulan di samping seorang lagi adik Aiman, Nur Qaseh Mahsuri, 10, menjalani kuarantin secara berasingan di Bukit Jelutong.
Semoga cepat-cepat sembuh dan segalanya dipermudahkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas