Berita

1, 300 atlet Wilayah Persekutuan terima manfaat kad diskaun

ANNUAR (tengah) merasmikan pelancaran Team Vipers Discount Card
- Diterbit 10 April 2021 9:28 AM MYT

KEBAJIKAN atlet Wilayah Persekutuan sentiasa diberi perhatian khusus seiring inisiatif Wilayah Cakna dengan mengambil penekanan terhadap aspek yang dapat membantu meringankan beban atlet.

Terbaru, atlet Wilayah bakal diberi kemudahan dengan pelancaran Team Wipers Discount Card yang merupakan inisiatif pertama diwujudkan oleh Majlis Sukan Negeri di Malaysia.

Menariknya, kad diskaun melalui kerjasama syarikat swasta, Paragon Vest Sdn Bhd tersebut membolehkan atlet mendapat potongan sehingga 50 peratus apabila membeli peralatan sukan di kedai atau laman sesawang yang disenaraikan.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, pemberian kad kepada 1,300 atlet di bawah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) merupakan sebahagian daripada inisiatif kebajikan.

“Kad diskaun khusus yang diberi kepada adalah satu inisiatif dengan sokongan oleh pihak swasta. Ini contoh yang patut digalakkan. Saya percaya pada masa akan datang banyak pihak lain yang akan memberi sokongan kepada inisiatif seperti ini,” ujar beliau sejurus merasmikan Seminar Kejurulatihan dan Pembangunan Sukan Wilayah Persekutuan 2021 di Pullman Hotel, Bangsar.

Tambah beliau lagi, kos untuk atlet membeli kemudahan sukan akan menjadi lebih rendah dan membantu meringankan beban pembelian mereka.

“Kos untuk aktif dalam sukan bukan murah. Diskaun ini pasti memberi kelegaan yang besar kerana dapat membeli keperluan pada harga yang jauh lebuh murah daripada harga biasa,” kata beliau lagi.

Turut hadir pada pelancaran seminar tersebut, Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Datuk Ramlan Shahean @ Askolani, Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Tan Sri Datuk Seri Mohamad Noor Abdul Rahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Che Roslan Che Daud dan Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri.

Selain perjanjian persefahaman (MoU) bersama Paragon Vest Sdn Bhd, MSWP turut bekerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Mahsa Universiti, KPNP Malaysia dan Persekutuan Judo Malaysia bagi laluan pendidikan dan kemahiran.

Terdahulu, atlet Wilayah Persekutuan turut menerima pelbagai kebajikan antaranya perlindungan insurans, Skim Intensif Kemenangan, bantuan perubatan dan rehabilitasi sukan serta banyak lagi. – AINI -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas